KUALA LUMPUR: Seorang bekas guru besar di Alor Gajah berdepan dengan tiga pertuduhan kekerasan jenayah terhadap bekas guru pelatih Wanita di sekolah yang sama pada tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Mohammed Mohd Som, 58, mengaku tidak bersalah sebaik semua tiga pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Majistret Dr Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang guru pelatih wanita berumur 21 tahun ketika kejadian dengan cara memeluk dan mencium pipinya.
Kesalahan itu dilakukan dalam tandas kelas pra sekolah di Sekolah Kebangsaan Telok Berembang, Lubok China, daerah Alor Gajah di sini kira-kira jam 10.40 pagi 16 Ogos 2024.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan memeluk dan mencium dahi wanita itu dalam sebuah kereta di hadapan premis di Taman Ilir Jaya dan Taman Wira Indah, Alor Gajah pada kira-kira jam 11 malam 30 Julai 2024 dan 18 Januari 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri, mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Datuk Hanif Hassan memohon jumlah jaminan yang rendah iaitu RM8,000 bagi kesemua pertuduhan.
Hujahnya lagi, anak guamnya juga sudah ditukarkan ke Jabatan Pendidikan negeri dan tidak lagi berkhidmat di sekolah terbabit manakala pengadu juga adalah bekas guru pelatih.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,500 bagi kesemua tiga pertuduhan.
Kes akan disebut semula 6 Mac ini.