KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif syarikat air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan menipu sumbangan membabitkan jumlah keseluruhan RM3.38 juta.
Faizal Aliar, 39, yang hadir berkerusi roda mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Bagi pertuduhan pertama, Faizal didakwa memperdaya Ranhill SAJ untuk menderma RM82,500 bagi ‘Program Imarah Ramadan 2023’ yang tidak pernah dilakukan.
Dia didakwa menulis surat meminta sumbangan kepada syarikat itu pada 1 April 2023, sebelum Ranhill SAJ memindahkan dana itu ke akaun bank yang dikaitkan dengan NGO bernama Pertubuhan Inspirasi Prihatin Malaysia.
Faizal turut didakwa memperdaya syarikat terbabit menyalurkan RM3.3 juta untuk ‘Program Prihatin Komuniti Madani 2023’ ke akaun bank yang sama, berdasarkan surat yang dihantarnya pada 4 April 2023.
Dakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Asraf Tahir memohon mahkamah menetapkan jaminan RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Peguam mewakili Faizal, S Preakas bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan atas alasan perlu menanggung empat anak termasuk dua berkeperluan khas selain dia kini tidak bekerja dan sedang menjalani rawatan kecederaan saraf tunjang di Hospital Bukit Tinggi.
Rosli menetapkan ikat jamin RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan.