Bekas Bendahari JMB Icon Residence Mengaku Tak Salah Dua Pertuduhan Ceroboh Dan Halang Tugas Polis

KUALA LUMPUR: Bekas Bendahari Badan Pengurusan Bersama (JMB) Icon Residence, Mont Kiara, Seow Choo Kiong dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah, di sini hari ini atas dua pertuduhan menceroboh Icon Residence, Mont Kiara dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada 6 Februari lalu.

Tertuduh, Seow Choo Kiong, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa, Nurul Nadia Md Ali di hadapan Hakim, Amira Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, Choo Kiong didakwa melakukan pencerobohan jenayah pada jam 11.45 pagi dengan berada dalam kawasan guard house Icon Residence.

Dia didakwa mengikut Seksyen 477 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam, C.W Chan kemudian memohon budi bicara mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan kepada RM4,000 memandangkan tertuduh sudah berusia 57 tahun serta mempunyai keluarga, iaitu seorang isteri yang bekerja sebagai guru serta tiga orang anak berusia 18, 16, dan 13 tahun.

Chan memberitahu bahawa anak sulung tertuduh kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

Selain itu, katanya, berlaku salah faham dalam insiden berkenaan berikutan tertuduh sebelum ini menjawat jawatan Bendahari Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan mempunyai satu unit kediaman di situ.

Chan berkata, pada hari kejadian, tertuduh hadir di kawasan berkenaan kerana menerima aduan kerosakan sebelum hadir bersama seorang lagi individu yang juga seorang juruteknik.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin. Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 18 April depan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur.

Sementara itu, di hadapan hakim Farah Nabihah Muhamad, Choo Kiong, didakwa telah menghalang penguat kuasa polis iaitu Inspektor Chongchean Tatt, daripada menjalankan fungsinya sebagai penjawat awam dengan tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk membuat tangkapan terhadap dirinya sehingga pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan.

Bagaimanapun, Choo Kiong mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 Februari kira-kira jam 3.15 petang di hadapan rumah No. 3-29-3, Icon Residence, Jalan Dutamas, Sentul.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan menghalang penjawat awam yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam, C.W Chan kemudian memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang lebih rendah iaitu RM2,000 kerana mendakwa tertuduh tidak berniat melawan ketika ditangkap, sebaliknya beliau pada ketika itu keliru kerana polis yang hadir mengenakan pakaian preman.

Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan tarikh sebutan kes pada 19 Mac depan.

BBerkaitan

Latest articles