KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee Ying Ha, mempersoalkan perlantikan ahli DAP, Tiew Way Keng, sebagai senator di Dewan Negara pada Februari lalu. Beliau mendakwa pelantikan tersebut tidak wajar kerana Way Keng terpalit dengan isu integriti dan salah guna kuasa ketika menjadi Ahli Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) 15 tahun lalu.
Menurut Jenice, Way Keng yang juga bekas ADUN Teratai, didakwa terlibat dalam meluluskan tender kutipan hutang bagi pihak MBPJ dengan harga 366% lebih tinggi kepada sebuah firma guaman milik Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng. Keputusan ini dibuat walaupun mesyuarat Ahli Jawatankuasa MBPJ sebelum itu telah meluluskan tender kepada firma lain dengan harga RM15,000.
“Pada asalnya, peruntukan bagi tender berkenaan adalah RM128,000, tetapi atas sebab tertentu ia diturunkan. Akhirnya, selepas bermesyuarat, MBPJ bersetuju meluluskan tender kepada sebuah firma guaman dengan harga RM15,000. Namun, Way Keng mendakwa telah bermesyuarat pada sebelah malam hari yang sama dan meminda keputusan tersebut, meluluskannya kepada sebuah firma lain pada harga jauh lebih tinggi melebihi harga siling yang ditetapkan MBPJ,” kata Jenice.
Jenice turut mempersoalkan bagaimana keputusan tender yang telah dibuat secara sah boleh dipinda begitu sahaja oleh Way Keng untuk diberikan kepada pihak lain dengan harga RM55,000, iaitu RM15,000 melebihi harga siling MBPJ yang ditetapkan pada RM40,000.
“Ini menunjukkan masalah integriti Way Keng, malah turut memberi gambaran mengenai keperibadian Lim Lip Eng. Perbuatan mereka jelas melanggar prinsip parti mereka sendiri,” ujarnya.
Jenice turut mendedahkan bahawa seorang ahli biasa DAP Serdang, Yap Kon Ming, pernah mengadakan sidang media bagi mempersoalkan perbuatan Way Keng dan Lim Lip Eng. Namun, selepas itu, Kon Ming menerima pelbagai tekanan termasuk tuduhan fitnah sehingga kes berkenaan dibawa ke mahkamah oleh pihak Lim Lip Eng dan Way Keng.
Katanya, tekanan yang dihadapi oleh Kon Ming semakin berat kerana beliau tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi, sehingga dibantu oleh seorang peguam, Ivan Ho, yang juga ahli DAP dari Klang.
“Pada tahun 2013, mahkamah mendapati kes ini bukan satu fitnah. Ini bermakna ada asas kes, dan semua butiran dalam laporan khas MBPJ mengenai Tiew Way Keng dan Lim Lip Eng mempunyai prima facie korupsi. Keputusan ini sekaligus membersihkan nama Kon Ming daripada tuduhan fitnah,” jelas Jenice.
Beliau turut menyatakan bahawa penipuan Way Keng terbongkar apabila Derek John Fernandez, seorang lagi Ahli Majlis MBPJ, memaklumkan bahawa beliau tidak menghadiri mesyuarat yang didakwa oleh Way Keng berlangsung pada sebelah malam dan menyebabkan perubahan keputusan tender.
Menurutnya, kes ini telah diadukan kepada Majlis Peguam Malaysia (Bar Council), tetapi pihak tersebut menyatakan bahawa ia berada di luar bidang kuasa mereka. Media, terutamanya media berbahasa Cina, pernah melaporkan isu ini, namun banyak pautan berita berkaitan kini sudah dipadam.
Jenice mendakwa bahawa Lim Lip Eng dan Way Keng seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan, sama ada dari parti DAP atau pihak penguatkuasa berkaitan.
Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa Way Keng pernah dilaporkan media kerana didakwa bersikap mengugut seperti “gangster” bersama beberapa individu lain yang dipercayai ahli majlis MBPJ.
“Satu kejadian melibatkan dua pasangan peniaga yang mengadakan sidang media bagi mempersoalkan tindakan Way Keng. Selepas itu, Way Keng melawat kedai mereka bersama dua lelaki yang memakai cermin mata gelap. Mengikut laporan media, lelaki-lelaki tersebut kelihatan tidak selesa kerana terpaksa mengikut Way Keng.
“Ketika itu, Way Keng mengarahkan pasangan suami isteri berkenaan untuk membuat permohonan maaf, jika tidak mereka akan disaman sehingga bankrap,” katanya.
Jenice turut menyatakan bahawa DAP kini semakin tersasar daripada landasan perjuangan asal dan semakin parah apabila melantik pemimpin yang tidak berintegriti memegang jawatan penting.
“Wakil rakyat DAP sekarang jarang turun padang dan lebih banyak melakukan aktiviti yang tidak perlu. Mereka tidak menjalankan tugas yang sepatutnya, malah menteri yang dilantik dari DAP juga tidak kompeten.
“Saya dapati prestasi mereka sangat teruk,” katanya.