Bekalan Tenaga Negara Kekal Stabil, Kerajaan Sedia Pelan Alternatif Hadapi Krisis Teluk

KUCHING: Kerajaan memberi jaminan bekalan tenaga negara kekal mencukupi dan stabil walaupun ketegangan geopolitik di rantau Teluk dilihat semakin memuncak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah awal telah diambil termasuk pelaksanaan pelan sokongan oleh Petronas bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan global, khususnya jika laluan strategik seperti Selat Hormuz terjejas.

Menurut beliau, antara pendekatan utama ialah mempelbagaikan sumber import tenaga dengan meneliti bekalan dari Australia serta beberapa negara lain di rantau Asia-Pasifik.

“Buat masa ini, semua perancangan berjalan lancar dan bekalan tenaga negara berada dalam keadaan terkawal,” katanya ketika ditemui media di Kuching.

Selain langkah di peringkat industri, kerajaan turut memberi penekanan terhadap penjimatan tenaga dalam negara.

Antara inisiatif dilaksanakan ialah menetapkan suhu penyaman udara di pejabat kerajaan pada 24 darjah Celsius.

Kerajaan juga sedang meneliti kemungkinan pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor tidak kritikal sebagai usaha tambahan mengurangkan penggunaan tenaga.

Dalam pada itu, orang ramai digesa mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah, termasuk memastikan peralatan yang tidak digunakan ditutup sepenuhnya bagi mengelakkan pembaziran.

Mengulas perkembangan pasaran global, Fadillah berkata kerajaan memantau rapat harga minyak mentah dunia, khususnya penanda aras Brent yang dijangka meningkat dalam masa terdekat susulan situasi geopolitik semasa.

Beliau menegaskan, subsidi petrol RON95 masih dikekalkan bagi melindungi rakyat daripada kenaikan kos, walaupun kerajaan menanggung beban kewangan besar mencecah sekurang-kurangnya AS$2 bilion setiap bulan.

Bagi diesel pula, mekanisme harga berdasarkan pasaran terus dilaksanakan, namun subsidi bersasar masih diberikan kepada sektor tertentu seperti logistik bagi memastikan rantaian bekalan tidak terjejas.

Tambah beliau, negeri Sabah dan Sarawak kekal menikmati subsidi diesel bagi menjamin kestabilan ekonomi serta kos sara hidup rakyat.

Dalam masa sama, isu penyeludupan bahan api terus menjadi cabaran berikutan perbezaan harga dengan negara jiran.

Sehubungan itu, kerajaan akan memperkukuh penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik.

BBerkaitan

Latest articles