KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan lebih 2.6 juta kampit beras putih tempatan telah berada dalam pasaran di seluruh negara, membabitkan 21,190 premis peruncitan termasuk pasar raya dan kedai runcit.
Menjelaskan lebih lanjut, Mohamad memberitahu jumlah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mencukupkan bekalan 24 juta kampit beras bersubsidi yang dijual pada harga RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg).
Menurutnya, bekalan beras putih tempatan sudah sampai ke kebanyakan premis di kawasan bandar, seperti pasar raya besar dan pasar mini.
Bagaimanapun beliau berkata, terdapat premis di kawasan pedalaman yang masih belum menerima bekalan.
“Kami telah mengarahkan agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk memastikan bekalan ini sampai ke semua sasaran, termasuk kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui pada Program Libat Urus Bersama Pemimpin Peladang Negeri Perak di Tapah, hari ini
Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Mahfuz Omar, dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang, Fauzi Badron.
Mohamad turut memaklumkan bahawa walaupun bekalan lebih mudah diperoleh di bandar, ia kurang mendapat sambutan dalam kalangan golongan M40.
“Di kawasan bandar, beras putih tempatan bukan menjadi rebutan kerana golongan pertengahan tidak begitu kisah sama ada membeli beras pada harga RM26 atau RM32 hingga RM33.
“Tetapi di kampung-kampung, keperluan beras pada harga lebih rendah amat penting. Oleh itu, usaha untuk menggerakkan bekalan ke kawasan luar bandar perlu dipertingkatkan,” katanya.
Dalam majlis yang sama, Mohamad turut menyampaikan cek cura bernilai RM573,920 kepada 43 penerima di bawah Program Pembangunan Industri Buah-buahan, Kelapa dan Tanaman Kopi bagi daerah Batang Padang bagi tahun 2025.
Selain itu, peruntukan lebih RM1.37 juta turut disalurkan kepada 56 penerima di bawah Program Pembangunan Industri Sayur-sayuran, Tanaman Kontan dan Bawang Merah.
Terdahulu, kerajaan memberi jaminan bahawa 24 juta kampit beras putih tempatan bersubsidi akan berada di pasaran seluruh Semenanjung, dengan had pembelian dua kampit setiap bulan untuk 400,000 ketua isi rumah miskin.