Bebas Pertuduhan, MUDA Tawar Semula Jawatan Presiden Kepada Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menawarkan semula jawatan Presiden kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan keputusan mahkamah membebaskannya daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram semalam.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) dalam mesyuarat malam tadi.

“Syed Saddiq telah membersihkan namanya di mahkamah dan mempertahankan nama baik MUDA secara konsisten. Dengan kembalinya beliau, parti yakin dapat diperkukuh terutama menjelang pilihan raya akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun tawaran telah dibuat, Amira menjelaskan bahawa Syed Saddiq diberikan masa untuk mempertimbangkan keputusan tersebut.

“Syed Saddiq masih kekal berkhidmat sepenuh masa sebagai Ahli Parlimen Muar. Politik khidmat beliau tidak pernah culas dan itu tidak pernah berubah,” tambahnya.

Pada November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq atas tuduhan pecah amanah, salah guna aset, dan pengubahan wang haram, sebelum beliau mengambil keputusan untuk berundur sementara daripada jawatan Presiden MUDA.

Beliau juga tidak terbabit dalam sebarang keputusan parti sejak itu, dan Amira Aisya memangku jawatan Presiden sehingga kini.

BBerkaitan

Latest articles