Kuala Lumpur: Bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang terkenal sebagai lokasi membeli-belah keperluan sambutan perayaan menerima lebih 20,000 pengunjung setiap hari sejak 9 April hingga hari ini.
Jumlah itu direkodkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hasil pemantauan yang dilakukan penguat kuasa sepanjang waktu operasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dan sehingga 2 pagi pada hari minggu.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, secara keseluruhan DBKL mencatatkan bilangan kehadiran 290,311 pengunjung dengan kehadiran tertinggi melebihi 23,000 pada Sabtu lalu.
Menurutnya, meskipun jumlah pengunjung ramai tapi mereka masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti mengimbas kod QR MySejahtera di laluan masuk dan memakai pelitup muka.
“Penguatkuasaan tetap dilakukan bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi peraturan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.
“Selain itu, rata-rata peniaga yang ditemui melahirkan rasa puas hati dengan hasil jualan dan pendapatan yang diraih sehingga ada antaranya mampu meraih jualan RM5,000 sehari. Ini adalah keadaan yang baik walaupun berdepan pandemik dan kekangan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Bazar Aidilfitri Lorong TAR di sini, malam tadi.
Ditanya rungutan orang ramai mengenai kesesakan teruk yang terpaksa dilalui pengunjung disebabkan sikap segelintir pengunjung Bazar Aidilfitri meletakkan kenderaan menghalang lalu lintas, beliau berkata, penguat kuasa DBKL sentiasa memantau lalu lintas.
Jalaluddin berkata, anggota akan memberi nasihat terlebih dahulu kepada pengunjung yang meletakkan kenderaan menghalang lalu lintas, namun sekiranya masih berdegil tindakan menunda kenderaan atau kompaun akan dikeluarkan.
“Sememangnya kawasan Kuala Lumpur terutama pada minggu akhir ini, kesesakan luar biasa berlaku dan segelintir pengunjung meletak kenderaan sebolehnya-bolehnya dekat dengan kawasan bazar,” katanya.
Katanya, tindakan sama turut dikenakan terhadap peniaga yang membuka gerai menghalang atau kacau ganggu lalu lintas serta menyebabkan kesesakan.