Bayi Maut Selepas Ibu Tak Sengaja Tinggalkan Di Dalam Kereta 7 Jam

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia akibat ditinggalkan ibunya kira-kira tujuh jam di dalam kereta yang diletakkan di kawasan parkir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pada kira-kira jam lebih 5.30 petang pihaknya menerima laporan tentang seorang bayi dalam keadaaan tidak sedarkan diri di kawasan parkir hospital tersebut.

“Mangsa telah diperiksa pegawai perubatan dan disahkan sudah meninggal dunia pada hari yang sama selepas kejadian itu.

“Hasil siasatan awal mendapati pada 5 Oktober 2023 lebih kurang 7.20 pagi, ibu mangsa yang juga seorang doktor di hospital sama telah meletakkan mangsa di bahagian belakang penumpang sebelah kiri dalam keretanya untuk dihantar ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun tambah beliau, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan tanggapan mangsa telah pun dihantar ke taska tersebut.

Katanya, ibu mangsa hanya menyedari anak bongsu daripada dua beradik itu masih berada dalam kereta pada waktu petang hari yang sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska.

Ditanya mengenai punca kematian bayi itu, Zam Halim berkata, polis sedang menunggu laporan bedah siasat dan pihaknya dalam proses untuk mengambil keterangan daripada ibu mangsa itu selepas urusan jenazah selesai.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles