KUALA LUMPUR: Seorang ibu muda ditahan bersama teman lelakinya selepas anaknya maut disyaki ditekup dan dicekik selepas bermalam bersama kekasihnya di sebuah kondominium di Cyberjaya di sini pada 12 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof memaklumkan suspek yang berusia 20 tahun bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta sedang dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya seorang penganggur.
Melalui keterangan awal suspek mendakwa mangsa terjatuh dari sofa sebelum dihantar ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan.
“Sekitar jam 11.30 pagi doktor berkenaan telah menerima seorang pesakit kanak-kanak lelaki berusia satu tahun enam bulan yang dihantar oleh ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Hasil pemeriksaan awal, doktor berkenaan mendapati ada pendarahan di kedua-dua belah anak mata yang berkemungkinan disebabkan oleh penderaan dan pesakit berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Kamarul berkata, pihaknya menerima laporan daripada pasukan perubatan Hospital Cyberjaya pada Ahad selepas kanak-kanak malang berkenaan meninggal dunia setelah tiga hari menerima rawatan.
Sejurus menerima laporan, polis cuba menghubungi kembali ibu mangsa yang juga suspek utama, namun gagal malah wanita itu juga tiada di alamat kediaman yang diberikan.
“Hasil maklumat risikan, polis menyerbu sebuah rumah flat di Putra Perdana, Dengkil dan menahan suspek sekitar jam 12.15 pagi pada 16 Januari. Suaminya turut ditahan pada hari sama,” katanya.
Hasil soal siasat suspek mengaku menekup muka mangsa menggunakan bantal semasa anaknya sedang tidur kerana mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga serta keluarga.
“Bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada mangsa di bahagian pipi, gusi, dahi dan belakang pelipat kaki kanan.
“Terdapat juga kesan calar di pipi kiri serta lebam di leher dipercayai akibat dicekik.
“Punca kematian disebabkan asfiksia ataupun kekurangan oksigen dipercayai berpunca dari tindakan ibu mangsa menekup muka mangsa,” ujarnya.
Katanya, suami suspek yang berusia 20 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana dipercayai tidak terlibat berikutan tiada di lokasi semasa kejadian berlaku.
“Teman lelaki suspek yang merupakan seorang pelajar kolej berusia 21 tahun bagaimanapun tidak mengaku terlibat.
“Dia hanya hadir ke rumah yang dijadikan rumah inap berkenaan untuk bermalam dengan suspek dan semasa kejadian lelaki berkenaan telah beredar,” katanya.
Beliau berkata, suspek dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula 16 Januari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).