Bayi Maut Dilanggar, Bapa Tak Perasan Ketika Alih Kereta

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan ditemui maut dipercayai dilanggar bapanya ketika mahu mengalihkan sebuah kereta keluar dari garaj sebuah rumah di Taman Desa Harmoni, Johor Bahru, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi ketika hendak mengalihkan kereta berkenaan, bapa mangsa berusia 27 tahun itu terdengar bunyi dari arah belakang tayar sebelah kiri.

“Apabila turun dari kenderaan, pemandu mendapati anaknya berada di belakang kereta dalam keadaan berdarah dan tidak sedarkan diri.

“Pemandu tersebut kemudian terus membawa anaknya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat perlanggaran itu, bayi berusia setahun empat bulan itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di hospital semasa menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, Mohd Sohaimi menasihati orang ramai supaya lebih prihatin dan peka terhadap kedudukan anak-anak terutamanya yang masih kecil sebelum memulakan pemanduan.

“Pengguna jalan raya juga diingatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika musim perayaan dan tidak tergesa-gesa atau leka ketika memandu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles