BUTTERWORTH: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam keadaan hidup di sebuah tandas rumah kampung berhampiran Sungai Dua, awal pagi Khamis.
Penemuan itu dilaporkan kepada polis oleh orang awam sekitar jam 6.28 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bersama unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang segera digerakkan ke lokasi.
“Pemeriksaan mendapati bayi berkenaan cukup sifat dan masih bernyawa. Beliau kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya dan disahkan berada dalam keadaan normal serta stabil,” katanya.
Bayi itu kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Anuar turut menasihati orang ramai agar tidak mensensasikan kejadian tersebut sementara siasatan sedang dijalankan.
Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Irwan Shah Sumadi di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.










