SEBERANG JAYA: Polis mengesahkan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah pusat asuhan dalam kawasan Hospital Seberang Jaya pada 9 Mac lalu berpunca daripada lemas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata perkara itu disahkan hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mangsa bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Menurut beliau, pihak polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Proses siasatan masih berjalan dan kita sedang melengkapkan segala keperluan sebelum kes ini diserahkan kepada pihak pendakwaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Juru arah utara, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, dua wanita yang merupakan pekerja pusat asuhan terbabit telah disambung reman selama tujuh hari lagi sehingga 22 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian tersebut, bayi dikenali sebagai Hayl Haarith Mohd Syafaeez disahkan meninggal dunia pada pukul 4.20 pagi selepas dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Difahamkan, pihak perubatan telah menjalankan prosedur resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira satu jam bagi menyelamatkan mangsa, namun bayi itu gagal diselamatkan.
Mangsa dilaporkan dihantar ke pusat asuhan yang beroperasi 24 jam oleh ibunya yang merupakan seorang jururawat dan sedang bertugas syif malam ketika kejadian berlaku.










