Dunia perubatan antarabangsa mencipta sejarah dengan kelahiran seorang bayi perempuan bernama Molly Everette Gibson, dnegan menggunakan embrio yang dibekukan sejak lebih 27 tahun lalu.
Bayi yang kini berusia sebulan dilahirkan dengan berat 2.7 kilogram, hasil embrio dibekukan daripada penderma yang kemudian dipindahkan ke rahim ibunya pada 10 Februari lalu.
Bayi itu kini menjadi anak kepada suami isteri, Tina dan Benjamin Gibson.
Menurut kakitangan penyelidikan di Perpustakaan Perubatan Preston Universiti Tennessee, Amerika Syarikat (AS), embrio itu adalah yang paling lama dibekukan.
Pasangan suami isteri itu juga pernah menggunakan kaedah kehamilan yang sama terhadap anak perempuan sulung mereka,
Emma Wren Gobsin, pada 2017 yang lalu, dengan embrio yang dibekukan lebih 24 tahun bersama embrio adiknya yang menjadikan mereka sebenarnya ‘adik-beradik genetik.’
“Ketika Tina dan Benjamin kembali untuk menjalani pemindahan embrio, saya gembira kerana masih ada embrio daripada penderma sama yang mendermakan embrio Emma.
“Ini jelas menunjukkan teknologi yang digunakan bertahun-tahun yang lalu dapat memelihara embrio itu untuk tempoh jangka panjang,” kata Pengarah dan Ahli Embriologi Makmal Pusat Pendermaan Embrio Kebangsaan (NECD), Carol Sommerfelt.