Bayi Dibuang Di Belakang Rumah, Polis Siasat Kes Sumbang Mahram

BESUT: Seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemui ditinggalkan di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Md Sani Md Saleh, berkata siasatan awal mendapati bayi yang baru dilahirkan itu dipercayai hasil hubungan sumbang mahram melibatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan ahli keluarganya.

Menurut beliau, remaja terbabit dipercayai melahirkan bayi berkenaan tanpa pengetahuan sesiapa sebelum meninggalkannya di belakang rumah tersebut, sehingga ditemui oleh seorang penghuni kediaman berkenaan.

“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 317 dan Seksyen 376B Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Md Sani menjelaskan, Seksyen 317 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan kerana meninggalkan bayi dengan niat membuangnya.

Sementara itu, Seksyen 376B pula melibatkan kesalahan persetubuhan antara individu yang dilarang berkahwin mengikut hukum agama, yang membawa hukuman penjara antara enam hingga 20 tahun serta sebatan.

Mahkamah membenarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap seorang lelaki bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam perkembangan sama, remaja perempuan terbabit kini sedang menerima rawatan di hospital.

Kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

BBerkaitan

Latest articles