SUBANG JAYA: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila diletakkan di dalam sebuah beg plastik di tepi sebuah rumah di Jalan USJ 9/5K, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu daripada orang awam sekitar jam 10.27 pagi.
“Siasatan awal mendapati bayi cukup sifat itu dijumpai di dalam beg berwarna biru bertulis Mydin, tanpa seurat benang dan uri masih berdarah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bayi berkenaan segera dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut dan hasil pemeriksaan mendapati bayi itu mempunyai berat 2.6 kilogram dan panjang 43 sentimeter.
“Bayi kini dalam keadaan stabil dan sihat,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran atau meninggalkan bayi dengan niat membuangnya.
Wan Azlan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor T. Vanitha di talian 017-2229832 atau IPD Subang Jaya di 03-7862 7222.










