KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila ditinggalkan di dalam tong sampah di hadapan sebuah rumah di Taman Putra, Ampang, petang semalam.
Penemuan itu dilaporkan seorang lelaki kepada pihak polis kira-kira jam 6.27 petang selepas menemui bayi berkenaan di lokasi terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, bayi tersebut dianggarkan dilahirkan sekitar empat jam sebelum ditemui berdasarkan keadaannya yang masih bertali pusat.
Bayi itu kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi di Hospital Ampang.
Beliau turut memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana pembuangan bayi.
Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pihak polis kini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.










