SEBERANG JAYA: Dua pengasuh wanita direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dipercayai menjadi mangsa penderaan di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ), semalam.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 22 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Roshayati Radellah di Mahkamah Majistret pada Selasa. Tempoh reman bermula hari ini sehingga 16 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurut polis, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.
Terdahulu, kedua-dua wanita terbabit tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.35 pagi dengan tangan bergari sambil diiringi anggota polis.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah taska yang terletak dalam kawasan HSJ. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Bapa bayi itu, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, menegaskan dia tidak akan memaafkan individu yang didakwa bertanggungjawab atas kematian anaknya.
Menurutnya, tindakan kejam terhadap bayi tidak berdosa itu tidak boleh diterima dan dia bertekad menuntut keadilan.
“Saya tidak akan memaafkan pelaku kerana perbuatan itu bukan sifat manusia. Sebagai bapa, saya akan ambil tindakan dan tuntut keadilan supaya tiada lagi bayi lain yang menerima nasib seperti anak saya,” katanya.
Difahamkan, jenazah bayi berkenaan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut, Marang, Terengganu.










