KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka selepas disyaki menjadi mangsa dera oleh ibunya sendiri dalam kejadian di Sungai Petai, Alor Gajah semalam.
Kejadian terbongkar apabila ibu mangsa, berusia 22 tahun, menghantar bayi tersebut ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri sambil mendakwa kononnya bayi itu mengalami sawan, sebelum meninggalkan mangsa.
Menurut sumber, bayi malang itu kemudian dirujuk ke Hospital Melaka pada tengah malam selepas pemeriksaan awal doktor mendapati keadaan mencurigakan.
Hasil siasatan lanjut oleh pakar perubatan menemui kesan lebam dan luka pada badan serta leher, selain pendarahan lama dan baharu dalam kepala mangsa.
“Doktor yang merawat bayi itu membuat laporan polis selepas mengesyaki penderaan. Bayi kini masih dalam pemantauan rapi di PICU,” kata sumber berkenaan.
Susulan laporan itu, sepasukan polis bertindak ke rumah wanita berkenaan dan berjaya menahannya sekitar jam 7.30 malam tadi di kediamannya di Sungai Petai.
Difahamkan, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.