Bayaran Insentif BIMLTK Diperluas Kepada Agensi Di Bawah KDN

Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) diperluaskan kepada empat jabatan serta agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, empat jabatan dan agensi terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Jelasnya, bayaran insentif bulanan itu telah diluluskan oleh kerajaan dan memberi manfaat kepada 1,200 pegawai serta anggota yang bertugas di 98 fasiliti pedalaman.

“Terdapat tiga kategori pedalaman iaitu Pedalaman Satu, Dua dan Tiga. Penentuan kategori tersebut berasaskan tahap kesukaran yang dinilai mengikut aspek untuk sampai oleh anggota bertugas.

“Pedalaman Satu layak menerima RM500 sebulan kerana lokasinya tidak berapa jauh ke dalam manakala RM1,500 sebulan untuk yang paling jauh ke pedalaman (Pedalaman Tiga) dan RM1,000 di pertengahan pedalaman (Pedalaman Dua),” katanya.

Hamzah berkata demikian selepas majlis penyampaian pangkat ‘Posthumos’ dan Sumbangan Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM kepada Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail di Mes Pegawai Kanan Briged Utara, Ipoh pada Jumaat.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sebelum ini bayaran insentif BIMLTK tersebut hanya dinikmati kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu, beberapa kriteria lain turut diambil kira dalam pengagihan insentif tersebut seperti bilangan mod pengangkutan, risiko perjalanan, sumber air, elektrik dan kemudahan lain seperti bank, pejabat pos serta bekalan bahan api.

Kata beliau, pecahan jabatan dan perjawatan yang akan menerima insentif itu melibatkan negeri-negeri tertentu mengikut keperluan.

Terdahulu, pada majlis itu, Hamzah menyampaikan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM dan Faedah Terbitan Allahyarham Safwan sebanyak RM180,135, manakala waris akan menerima bayaran Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM sebanyak RM864 setiap bulan seumur hidup.

Allahyarham Safwan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor meninggal dunia selepas dilanggar seorang pemandu dipercayai mabuk ketika sedang membuat sekatan jalan raya pada 3 Mei lepas.

KOMEN

BERKAITAN

POPULAR

Media Sosial

29,272FansLike
0MembersFollow
48,300FollowersFollow
0FollowersFollow
9,238FollowersFollow
10,400SubscribersSubscribe

Terkini