Bayar Zakat Dan Berwakaf Lebih Mudah Guna Kiosk E-Zakat

KUALA LUMPUR: Orang ramai dari segenap lapisan masyarakat atau agama di sekitar ibu negara kini boleh menggunakan satu kiosk digital yang terletak di Masjid Al-Mukhlisin di Alam Damai untuk membayar bil utiliti dan menambah nilai kad Touch & Go.

Ia turut boleh digunakan oleh orang Islam untuk memudahkan pembayaran zakat serta untuk berwakaf.

Mesin itu diletakkan di sana melalui inisiatif Program Anjakan Digital Ummah (PADU) satu kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutun (JAWI) dan syarikat Intact Media Sdn Bhd.

Semalam, satu majlis merasmikan mesin berkenaan diadakan di masjid itu dengan dihadiri Timbalan Pengarah Operasi JAWI Mohd Fadzil Abu Kasim yang mewakili Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail.

Menurut Mohd Fadzil, program PADU adalah satu usaha yang digerakkan oleh JAWI untuk seiring dengan hasrat kerajaan melalui konsep Malaysia Madani untuk meningkatkan lagi martabat Islam melalui kemajuan teknologi.

“Saya berharap ahli kariah dan orang ramai dapat memanfaatkan kemudahan ini. Ia bukan hanya untuk Muslim sahaja, ia terbuka kepada semua orang termasuk orang bukan Islam.

“Masjid menerima kehadiran mereka untuk menggunakan kemudahan ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan kiosk berkenaan semalam.

Beliau berkata selain memenuhi hasrat inspirasi Malaysia Madani, ia juga bertujuan mencapai matlamat JAWI untuk mewujudkan Masjid Pintar di Wilayah Persekutuan.

“Kiosk pembayaran ini sangat tepat dengan usaha kerajaan dalam membentuk Malaysia Madani yang juga selaras dengan usaha JAWI ke arah membangunkan Smart Mosque,” ujarnya.

Hadir bersama dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Eksekutif Intact Media Mohd Rishi Ross dan Pengerusi Masjid Al-Mukhlisin Datuk Ahmad Nazri Ibrahim.

Sebagai langkah mula, sebanyak lima buah kiosk akan diletakkan di masjid terpilih sekitar Wilayah Persekutuan dan kemudian pada tahun ini, JAWI menyasarkan untuk meletakkan sebanyak 50 buah kiosk lagi.

BBerkaitan

Latest articles