Bau Busuk Bongkar Penemuan Mayat Ibu, Anak, Dipercayai Kematian Lebih Seminggu

GEORGETOWN: Bau busuk dari sebuah unit apartmen di tingkat sembilan Jalan Bukit Gambir membawa kepada penemuan tragis mayat seorang wanita bersama anak perempuannya berusia dua tahun petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu pada jam 4.41 petang sebelum meminta bantuan bomba untuk membuka pintu yang berkunci dari dalam.

“Sebaik pintu berjaya dibuka, kami menemui mayat wanita tempatan berusia 40 tahun bersama anak perempuannya dalam bilik utama. Pemeriksaan awal pakar forensik Hospital Pulau Pinang menganggarkan kedua-duanya telah meninggal dunia lebih seminggu lalu,” katanya ketika dihubungi.

Polis turut menemui beberapa jenis ubat dipercayai untuk rawatan tekanan perasaan di dalam rumah berkenaan.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang esok.

Sementara itu, adik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Noor berkata kakaknya yang sudah bercerai tinggal di apartmen tersebut bersama anaknya dan tidak bekerja.

“Kali terakhir saya jumpa dia Mei lalu. Itu pun sebab polis minta saya bawa dia balik dari Balai Polis Seberang Jaya,” katanya.

Seorang jiran pula memaklumkan kali terakhir mereka melihat mangsa dan anaknya ialah pada penghujung Mei.

“Sebelum ini dia ada beritahu nak pindah sebab rumah bakal dilelong. Lepas tu terus tak nampak dia lagi. Kami pun sangka dia dah pindah,” katanya yang enggan dikenali.

BBerkaitan

Latest articles