Bau Busuk Bawa Kepada Penemuan Mayat Bayi Dalam Tandas Surau

KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar kawasan Rumah Awam Pengkalan Nyireh, Jertih gempar susulan penemuan mayat seorang bayi perempuan di dalam tandas sebuah surau, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata mayat bayi itu dijumpai oleh beberapa penduduk kawasan itu yang terhidu bau busuk dari dalam salah satu tandas surau berkenaan pada pukul 10 pagi.

Beliau berkata beberapa orang awam kemudiannya masuk ke dalam tandas itu untuk memeriksa dan mereka menemukan satu baldi berwarna merah dalam keadaan telungkup di lantai tandas.

“Saksi kemudian membuka baldi itu dan ternampak mayat bayi di dalam plastik warna jernih, lalu mereka memaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau yang kemudiannya menghubungi polis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemeriksaan oleh sepasukan pegawai serta anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu mendapati mayat bayi perempuan itu dalam keadaan cukup sifat, dan tiada kecederaan ketara dikesan pada mayat.

“Berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau, bayi itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam,” katanya dan menambah mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

Abdul Rozak berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.- BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles