Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin memaklumkan pihaknya menerima surat permohonan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk kembali menyertai parti itu.
Surat tersebut diterima Umno Sabah dalam tempoh dua minggu lalu.
“Umno sudah pun menerima permohonan (Salleh) secara rasmi dan saya telah memanjangkannya (permohonan) itu kepada Majlis Tertinggi Umno untuk dipertimbangkan dan diperhalusi …(sedang dalam) proses diberi pertimbangan dan kelulusan.
“Umno Sabah terbuka iaitu kita membuka pintu kepada mana-mana bekas ahli dan pemimpin daripada mana-mana parti termasuk daripada Umno dahulu yang ingin kembali (menyertai Umno semula), kita terima,” katanya.
Salleh, yang juga bekas menteri komunikasi dan multimuedia pada semalam memberitahu dirinya membatalkan permohonan menyertai PKR pada April lalu selepas parti itu mengalami krisis dalaman yang tidak berkesudahan.
Untuk rekod Salleh bersama sekumpulan pemimpin Umno Sabah yang lain mengumumkan keluar Umno pada Disember 2018 selepas Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.