Polis sedang menyiasat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataannya yang mendesak Yang di-Pertuan Agong membatalkan Proklamasi Darurat.
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan kes itu dikendalikan Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Kami membantu mengambil keterangan orang yang membuat laporan itu, tetapi kes itu sudah dirujuk ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mior berkata, laporan polis terhadap Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu dibuat di Kuala Lumpur.
Terdahulu pada 14 Januari lalu, Anwar mengutua surat kepada semua Ahli Parlimen untuk merayu kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah membatalkan perisytiharan darurat bagi membolehkan persidangan Dewan Rakyat dilangsungkan secepat mungkin.
Surat Presiden PKR itu menyatakan bahawa kerajaan tidak perlu melaksanakan darurat kerana ada langkah mencukupi untuk mengekang penularan COVID-19, termasuk pelaksanaan sekatan pergerakan.
Susulan desakan pembatalan itu, ramai mendakwa Anwar derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong, namun beliau berulang kali mempertahankan tindakannya dan berkata ia bukannya pengkhianatan.