Bas bawa pegawai, kakitangan Kedutaan Korea Utara ke KLIA

Sebuah bas persiaran dipercayai membawa kakitangan Kedutaan Korea Utara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beredar dari pejabat kedutaan itu di Jalan Batai, Damansara di sini, pagi ini.

Kenderaan itu tiba jam 9.11 pagi dan memasuki pekarangan bangunan kedutaan berkenaan sebelum bergerak keluar dari pejabat itu tepat jam 11 pagi disertai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik kedutaan.

Difahamkan, kesemua pegawai dan kakitangan di kedutaan itu dijadualkan menaiki penerbangan petang ini, sebelum transit di Beijing, China seterusnya meneruskan perjalanan ke Korea Utara.

Kedutaan itu dikatakan, mempunyai kira-kira 20 pegawai dan kakitangan serta tanggungan.

Kesemua mereka juga sudah menjalani ujian saringan COVID-19, semalam bagi membolehkan mereka meninggalkan negara ini dengan menaiki penerbangan itu.

Jumaat lalu, kerajaan mengarahkan semua kakitangan diplomatik kedutaan Korea Utara dan ahli keluarga mereka di Kuala Lumpur supaya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan, memaklumkan tindakan itu susulan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, berikutan seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Menurut kenyataan itu, Malaysia berhak melindungi hak dan kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan Korea Utara yang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini.

Malah, Malaysia amat kecewa dengan keputusan yang dibuat Korea Utara dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat setia kawan sebagai anggota komuniti antarabangsa.

Dalam kenyataan itu juga, kerajaan Malaysia akur dengan keputusan Korea Utara dan menutup pejabat Kedutaan Malaysia di Pyongyang yang mana operasi pejabat itu dihentikan sejak 2017.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi akaun Twitter pada Jumaat lalu, memaklumkan tiada pegawai dan kakitangan Malaysia di Korea Utara selepas operasi Kedutaan Malaysia di Pyongyang digantung sejak 2017.

“Operasi kedutaan Malaysia di Pyongyang sudah digantung sejak 2017 dan kesemua kakitangan serta tanggungan mereka kembali ke tanah air sejak itu,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian ketika membalas pertanyaan rakyat Malaysia mengenai kedudukan kakitangan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles