BALING: Kegembiraan seorang lelaki selepas dua hari mendirikan rumah tangga berakhir tragedi apabila dia ditemui maut tergantung di sebatang pokok semambu di Kampung Lubuk Kabu, Kuala Pegang, pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, pihaknya menerima panggilan awam mengenai penemuan mayat berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 34 tahun dan merupakan penduduk kampung berkenaan. Dia dipercayai memanjat pokok semambu setinggi kira-kira lima meter di sebelah sebuah rumah sebelum ditemui tergantung,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, petugas dari Klinik Kesihatan Kupang yang tiba di lokasi mengesahkan lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.










