JOHOR BAHRU: Pengurusan Surau Nurul Haq di Kampung Sungai Sayong 1 di Kulai, meluahkan rasa sedih dan terkilan dengan insiden van jenazah milik surau itu yang dicuri dan kemudiannya remuk teruk akibat terlibat dalam kemalangan, semalam.
Bilal Surau Nurul Haq Zahiruzaman Saim berkata, van jenazah itu diperoleh pihaknya daripada sebuah jabatan pada Disember tahun lepas, melalui proses pelupusan harta dan belum sempat digunakan untuk pengendalian jenazah.
“Kami hanya sempat cat semula dan pasang pelekat tapi belum guna sepenuhnya sebab belum dipasang pengusung dan memang kami cadang untuk guna secara off-road sahaja, dalam kampung,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, sebelum ini kariah di kawasan suraunya yang meliputi 30 keluarga menggunakan van jenazah daripada Masjid Kampung Murni Jaya sekiranya berlaku kematian untuk membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sayong 1.
Bagaimanapun adakalanya apabila berlaku kematian serentak, urusan jenazah menjadi sedikit lambat dan menyebabkan mereka mendapatkan ihsan rakan-rakan sesama kariah surau untuk menggunakan kenderaan serba guna (MPV) peribadi, bagi menguruskan jenazah.
“Pihak surau beranggapan bila sudah ada van jenazah ini tak perlulah nak minta ihsan tumpang guna kenderaan kawan-kawan yang besar, tak sangka jadi seperti ini, nak buat macam mana, benda dah berlaku,” katanya.
Walaupun reda dengan kejadian itu, beliau berkata, pihaknya selepas ini akan berusaha mencari van terpakai bersesuaian untuk dijadikan sebagai van jenazah dan mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang berhasrat untuk menghulurkan sumbangan.
Semalam, seorang lelaki yang dipercayai mencuri van jenazah dari sebuah surau ditahan polis, selepas kenderaan itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Skudai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee dipetik berkata van jenazah jenis Toyota Hiace itu dipercayai dicuri oleh suspek yang berusia 21 tahun antara 1 hingga 2 pagi semalam.
Beliau bagaimanapun berkata lelaki terbabit kemudian terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika melarikan van itu kira-kira 2.30 pagi. – BERNAMA