KUALA LUMPUR: Masih meratap atas pemergian mengejut Allahyarham isterinya, usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura akhirnya buka mulut menjelaskan kejadian pagi Jumaat lalu.
Menurut Ridzuan atau nama sebenarnya, Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 50, sudah menjadi kebiasaan buat dirinya dan isteri, Akiko Okumura melakukan pemeriksaan di sekitar kediamannya sebelum masuk tidur.
Pemilik salun rambut itu juga melahirkan rasa ralat tidak memeriksa bunyi dentuman pada pagi itu.
“Abang dengar bunyi macam jatuh, bunyi macam kemalangan, disebabkan rumah sebelah lebuh raya, jadi memang selalu berlaku.
“Selalunya abang akan pergi periksa bersama isteri jika ada sebarang kejadian, tetapi malam itu abang terlalu penat dan terus tidur,” katanya.
Menerusi siaran langsung yang dilakukan di aplikasi TikTok, Ridzuan memaklumkan, pada keesokan harinya, beliau mendapati Akiko tidak menyediakan sarapan seperti rutin harian.
“Abang sudah mula tak sedap hati dan segera ke bilik kami tapi abang dapati tingkap bilik sudah pun terbuka dan rosak,” katanya.
Sejurus itu, dia segera bergegas turun ke bilik air utama dengan memanjat tingkap dan mendapati Akiko berada dalam keadaan tertiarap di atas tanah.
“Abang tak fikir panjang, terus minta pengawal keselamatan untuk menelefon pihak ambulans dan polis,” tambahnya.
Sehubungan itu Ridzuan menggesa orang ramai menghentikan mereka cerita dan spekulasi berkenaan pemergian isteri tercintanya kerana memberi kesan buat dirinya dan anak mereka, Sky Taizo Okumura, 13.
Dalam masa yang sama, meskipun reda dengan pemergian isteri tercinta, dia terkenang dengan ungkapan Akiko yang sering mengatakan biarlah dia yang pergi dahulu.
Apatah lagi mengenangkan sikap dan jasa Allahyarham sepanjang menjadi isterinya dam ibu buat Sky.
“Jangan abang pergi dulu, biar Akiko pergi dulu.
“Tapi Allah ambil juga dia. Saya terima dan reda sahaja tapi bila tengok anak saya tak kuat saya juga tak kuat sangat tapi saya cuba untuk kuat.
“Selama 16 tahun, seorang kawan pun tiada. Dia boleh tinggalkan semuanya untuk abang.
“Baru-baru ini, abang balik dari Jepun, abang nampak nota. Dia buat gambar, menu untuk sahur. Jadi abang tahu dia nak masak untuk bersahur,” katanya.
Jenazah Akiko Okumura selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, Sabtu lalu.
Ridzuan dan arwah isterinya, yang berasal dari Jepun, mendirikan rumah tangga sejak tahun 2009.