Baru 3 Bulan Keluar Penjara, Kena Tangkap Semula Selepas Pukul, Culik Lelaki Berhutang Dan Berskandal Dengan Isterinya

Seorang lelaki dipukul oleh tiga individu setelah gagal melunaskan hutang, selain dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan isteri salah seorang penyerangnya.

Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sungai Nyior, Butterworth dekat sini, petang semalam.

Terdahulu, mangsa berusia 38 tahun keluar daripada Proton Wira di persimpangan lampu isyarat berkenaan sambil berlari dan menjerit meminta tolong.

Insiden jam 5.38 petang itu disaksikan seorang wanita yang kemudiannya merakam beberapa keping gambar sebelum tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, saksi yang bekerja sebagai kerani melaporkan yang dia berhenti di persimpangan lampu isyarat itu sebelum ternampak seorang lelaki keluar daripada sebuah kereta sambil menjerit meminta tolong.

“Saksi turut memaklumkan, sejurus kemudian, keluar dua lagi lelaki daripada kereta berkenaan dengan memegang seutas tali. Kedua-duanya mengejar sebelum menangkap mangsa.

“Susulan laporan, kami melakukan risikan sebelum menahan tiga suspek, termasuk dalangnya, pada jam 11.30 malam hari yang sama di sebuah rumah flat di Mak Mandin. Ia turut dijadikan lokasi mangsa dikurung.

“Kami menemui mangsa dalam keadaan tangannya diikat selain ada kesan kecederaan pada kepalanya. Mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan,” katanya.

Siasatan mendapati, suspek utama iaitu lelaki berusia 40 tahun bertindak sedemikian kerana berang mangsa mempunyai hubungan sulit dengan isterinya yang berusia 32 tahun ketika dia menjalani hukuman di penjara.

Selain itu, mangsa juga dikatakan meminjam wang RM2,300 daripada isteri suspek dan tidak membayarnya semula.

“Pada masa sama, mangsa turut dipercayai menggunakan nama isteri suspek untuk membuat pinjaman daripada along menyebabkan suspek bertambah berang,” katanya.

Menurut Noorzainy, pada mulanya, suspek utama yang baru tiga bulan dibebaskan daripada penjara bersama dua lagi rakan jenayahnya berusia 24 dan 25 tahun mengajak mangsa berjumpa di sebuah tempat.

Suspek mendesak mangsa membayar hutang malah membawanya ke bank untuk mengeluarkan wang.

“Bagaimanapun, baki akaun bank mangsa hanya tinggal RM23. Suspek utama yang berang kemudiannya menculik mangsa dengan bantuan dua lelaki terbabit,” katanya.

Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati ketiga-tiganya positif dadah.

“Suspek utama yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan dua rakannya yang mempunyai lima serta enam rekod lampau kini direman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan,” katanya

BBerkaitan

Latest articles