KUALA LUMPUR: Rangkaian kedai kopi popular, ZUS Coffee tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung video tular yang memaparkan seorang pelanggan wanita menengking dan menyimbah minuman ke arah barista di salah satu cawangannya baru-baru ini.
Dalam kenyataan, ZUS Coffee mengesahkan pihaknya sudah mengambil tindakan sewajarnya dan kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian berkenaan.
“Kami maklum mengenai insiden tersebut dan barista kami yang digelar ‘Zurista’ kini sedang berehat dan memulihkan diri daripada kejadian itu.
“Kami sentiasa berada di sisi Zurista kami dan telah mengambil langkah yang sepatutnya bagi memastikan kebajikan mereka terjaga,” jelas syarikat itu.
ZUS Coffee turut mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan semula video kejadian serta menghormati privasi individu yang terlibat.
“Kami menyeru semua pihak supaya tidak menyebarkan semula video atau membuat kenyataan palsu. Beri ruang kepada siasatan dijalankan dengan adil,” katanya.
Syarikat itu menegaskan, bekerja dalam industri perkhidmatan bukan perkara mudah dan sebarang perlakuan tidak menghormati pekerja adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Kita hanyalah manusia yang berusaha melakukan yang terbaik. Di ZUS, kami tidak bertolak ansur dengan sebarang perlakuan yang mencemarkan rasa hormat dalam komuniti kami,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, video berdurasi lebih satu minit tular di media sosial memaparkan seorang pelanggan wanita dipercayai warga China menengking barista kerana tidak berpuas hati dengan kelewatan penyediaan minuman, sebelum menyimbah minuman ke arah pekerja berkenaan.
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan ramai netizen yang menuntut agar tindakan tegas diambil terhadap pelanggan terbabit.










