Barisan Hadapan Benteng Negara – Khaled Nordin

Isu doktor kontrak sudah mendapat tindakan dari Jemaah Menteri apabila mereka ditawarkan penyambungan kontrak selama dua tahun.

Walaupun keputusan yang di buat oleh kerajaan tidak menepati tuntutan dan hasrat Hartal Doktor Kontrak, namun mereka disarankan untuk berfikir panjang sebelum mengambil tindakan yang tidak sewajarnya.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihati doktor kontrak supaya mencari jalan tengah lebih baik, kerana himpunan sebegitu lebih memberi kesan kritikal kepada kelancaran sistem perkidmatan kesihatan negara kita.

Apatah lagi ketika negara sedang berhadapan situasi genting pandemik Covid-19 ini, Hartal Doktor Kontrak bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik.

Khaled menyifatkan mengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyelesaikan tuntutan Gerakan Hartal Doktor Kontrak wajar diberikan ruang untuk dibincang dan dipertimbangkan.

“Tawaran kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri beberapa hari lepas pula wajarlah diberikan ruang untuk dibincang dan dipertimbangkan.

 “Jika ia tidak memadai, maka ia harus menjadi asas untuk rundingan seterusnya. Pastinya tidak semua permintaan dapat dipenuhi dan tidak semua tawaran kerajaan harus ditolak sebegitu sahaja.

 “Negara sedang berhadapan dengan darurat kesihatan yang teruk. Masalah ini tidak boleh dibenarkan berlarutan,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau meminta kerajaan menunjukkan rasa hormat dan kerjasama terhadap barisan hadapan negara kita.

“Kerajaan wajar menunjukkan empati yang mendalam terhadap desakan para pegawai perubatan muda ini.

 “Tuntutan mereka dalam isu seperti gaji, pengambilan tetap, elaun, peluang melakukan program kepakaran serta manfaat-manfaat lain adalah perkara yang dituntut dengan jelas, konsisten dan rasional,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terlibat dengan menawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Pengumuman itu selepas sekumpulan doktor kontrak dilaporkan akan meneruskan rancangan mengadakan hartal pada 26 Julai ini selepas tiada sebarang tawaran bagi mengatasi masalah mereka.

Ia antara lain membangkitkan isu penamatan kontrak dan potensi pegawai perubatan muda yang dikhuatiri tidak mempunyai peluang yang baik dalam karier mereka pada masa depan.

Penganjur gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) semalam berkata tinjauan kumpulan itu telah mengenal pasti kira-kira 5,000 pegawai perubatan kontrak dari kemudahan kesihatan kerajaan di seluruh negara dijangka menyertai mogok secara ‘walkout’ yang akan berlangsung pada 11 pagi esok.

Walkout adalah tindakan apabila pekerja beramai-ramai berhenti membuat tugasan secara serentak.

Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berharap pihak kerajaan menghormati hak kebebasan berusara golongan doktor perubatan ini, melalui layanan seadilnya.

“Izinkan Hartal ini berlaku esok sebagai menghormati kebebasan bersuara kumpulan doktor perubatan ini tetapi kemudian segeralah kedua-dua pihak kembali semula ke meja rundingan.

 “Doktor dan pengamal perubatan adalah pejuang barisan hadapan negara. Mereka harus dilayan dan dihargai dengan sewajar dan seadilnya. Namun yang lebih utama ialah kepentingan nasional. Mengimbangi kesemua ini, kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan dan kumpulan doktor muda ini,” tambahnya lagi.

 

 

 

 

BBerkaitan

Latest articles