Barangan Rumah Milik Che Ta, Kereta Haval Akan Dijual Lelong Hari Ini

KUALA LUMPUR: Jualan lelong pelbagai asset dan barangan rumah milik pelakon sensasi, Rozita Che Wan yang akan berlangsung pada hari ini, sekitar jam 10.30 pagi.

Jualan lelong awam itu akan diadakan di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya membabitkan 34 barangan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46.

Ini termasuklah kereta jenama Haval, sofa, peti ais dan pendingin hawa dingin.

Perintah lelongan barangan milik Rozita atau mesra disapa Che Ta dikeluarkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang akan dijalankan oleh Auctrade Auctions Solution.

Untuk rekod pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.

Difahamkan, Rozita membuat pinjaman dengan MARA sejak 2017, namun, dilapor didakwa tidak pernah membayar pembiayaan itu sejak tujuh tahun lalu.

Rozita dilapor masih belum tampil bertemu pihak MARA untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik selebriti itu, RCW Worldwide Sdn Bhd.

Susulan itu, bahagian undang-undang MARA dilapor dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman.

Langkah itu adalah prosedur susulan dilakukan terhadap selebriti itu selepas gagal melunaskan hutang dalam tempoh tujuh tahun walaupun pelbagai usaha diambil MARA bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes ke mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles