KUALA LUMPUR: Kemelut hak penjagaan adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan memasuki episod baharu apabila bapanya, Zaim Ikhwan Zahari, memfailkan rayuan bagi mengetepikan beberapa daripada 14 syarat yang ditetapkan Mahkamah Majistret Shah Alam.
Rayuan itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 November lalu menerusi firma guaman Tetuan Haresh Mahadevan & Co, susulan keputusan mahkamah pada 21 November yang mengarahkan kanak-kanak berusia enam tahun itu yang juga menghidap autisme dikembalikan ke pangkuan Zaim Ikhwan, tetapi tertakluk kepada syarat ketat di bawah Seksyen 30(1)(a) dan 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum ini, kanak-kanak tersebut dijaga oleh nenek saudara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama 18 bulan, sebelum mahkamah memutuskan dia boleh kembali kepada keluarga kandung.
Namun, keputusan itu hadir bersama 14 syarat yang antaranya menegaskan kanak-kanak itu tidak boleh ditinggalkan tanpa pengawasan, tidak boleh menjadi kandungan media sosial, serta alamat penempatan tidak boleh didedahkan kepada umum.
Antara syarat lain, Zaim diwajibkan memastikan anaknya mendapat pendidikan dan terapi sewajarnya, tidak berpindah tanpa memaklumkan JKM, tidak menyerahkan hak penjagaan kepada pihak lain tanpa proses sah, serta perlu membawa kanak-kanak itu menziarahi ibu kandung sekurang-kurangnya sekali setiap dua bulan.
Dokumen perintah turut memperuntukkan bahawa sekiranya mana-mana syarat dilanggar, pelindung JKM berhak mengambil semula kanak-kanak tersebut dan menempatkannya di institusi jagaan.
Kes ini turut mendapat perhatian kerana perkembangan terdahulu: Zaim dibebaskan tanpa perlu membela diri dalam kes pengabaian Allahyarham Zayn Rayyan, manakala ibu kanak-kanak itu, Ismanira Abdul Manaf, 30, diperintahkan membela diri sebelum akhirnya dijatuhi hukuman lima tahun penjara pada 31 Oktober setelah disabitkan kesalahan mengabaikan anaknya.










