Bapa Tunggal Maut Ditetak Bertubi-Tubi, Tangan, Kaki Putus, Sepupu Ditahan

TUMPAT: Seorang bapa tunggal maut dalam keadaan ngeri apabila ditetak berkali-kali hingga menyebabkan tangan kiri dan kaki kanannya putus dalam kejadian di Kampung Kok Bedollah, di sini, malam Jumaat.

Mangsa, Mohd Suhairi Hasim, 46, yang bekerja sebagai pemandu jengkaut, ditemukan tidak bernyawa oleh ibunya, Wan Salma Wan Said, 68, kira-kira jam 11 malam, dengan tubuh berlumuran darah berhampiran kawasan mencuci jengkaut di hadapan rumah mereka.

Menurut Wan Salma, dia sedang bersiap untuk tidur apabila terdengar jeritan anak lelakinya menjerit “Allahu… Allahu…” berulang kali.

“Saya segera bangun dan menjerit dari tingkap bertanya, ‘Kamu bergaduh dengan siapa, Hairi?’ tetapi tiada jawapan,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Sabtu.

Warga emas itu berkata, dia kemudian bergegas keluar ke arah tempat anaknya bekerja, namun suasana gelap membuatkan dia menyangka seorang lelaki berdiri berhampiran jengkaut itu ialah anaknya.

“Apabila saya menghampiri, lelaki itu bersuara “Aku buat anak kamu begini sebab dia tularkan anak aku” sebelum berjalan pergi sambil membawa parang,” katanya.

Wan Salma berkata, dia hanya mampu terpaku melihat keadaan anaknya yang berlumuran darah dengan kecederaan parah di pipi, belakang, bahu, tangan dan kaki.

“Tangan kiri dan kaki kanannya terputus. Saya hanya mampu menjerit memanggil anak-anak lain yang tinggal berhampiran untuk datang membantu,” katanya sebak.

Mayat Mohd Suhairi kemudian dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kok Bedollah.

Difahamkan, suspek berusia 40-an yang juga sepupu kepada mangsa, telah ditahan polis tidak lama selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie, mengesahkan penahanan suspek dan berkata lelaki itu telah dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk permohonan reman.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles