SUBANG JAYA: Polis hari ini mengesahkan telah menahan dan mereman bapa kepada pelakon remaja, Puteri Balqis, susulan pendedahan yang dibuatnya baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat memberitahu reman ke atas lelaki berkenaan dilakukan sehingga 12 September ini bagi membantu siasatan polis.
Bapa pelakon itu yang berusia 43 tahun ditahan di rumahnya di Kedah, petang semalam.
Turut dirampas adalah telefon bimbitnya.
“Barang rampasan itu akan dihantar ke Jabatan Forensik PDRM untuk dianalisa bagi membantu siasatan polis,” katanya menerusi kenyataan tadi.
Tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang telah dibuat oleh pelakon remaja itu dua hari lalu di Subang Jaya.
Puteri Balqis mendakwa bapanya melakukan gangguan seksual serta mengabaikan kebajikannya.
Malah dia turut mendakwa sering dipertontonkan dengan video lucah melalui telefon bimbit ayah kandungnya iti.
Kejadian tersebut berlaku sejak tahun 2013 sehingga tahun 2017 apabila ibu mangsa tiada bersama di rumah.
Tambah Wan Azlan, ujian saringan air kencing lelaki itu didapati negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah,” katanya.