KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa dikenali sebagai Putri Alya Husna Mohd Jabar.
Sehubungan itu mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai gadis berkenaan diminta tampil membuat laporan.
Terdahulu, katanya, seorang lelaki berusia 40 tahun membuat laporan polis mengenai kehilangan anak perempuannya.
Berdasarkan laporan, beliau berkata, remaja itu yang sudah tidak bersekolah, menetap bersama ayah dan ibu di Jalan Gambang, Kuantan.
“Pengadu dan isteri tidak pernah ada masalah atau pertengkaran dengan anak perempuan mereka. Sebelum ini remaja ini didakwa pernah keluar rumah tetapi akan pulang.
“Kali terakhir dia dilihat pengadu adalah pada jam 10.30 malam Isnin lalu ketika sedang makan di rumah. Pengadu hanya menyedari anak perempuannya hilang pada jam 3 pagi semalam.
“Bimbang keselamatan anak perempuannya, pengadu yang bekerja sebagai pemandu lori membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading, di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.