Bapa Mengaku Salah Amang Seksual, Liwat, Rogol Anak Usia 7 Tahun

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahlamah Sesyen hari ini dan berdepan dengan 13 pertuduhan antaranya amang seksual, liwat dan rogol terhadap anak sendiri pada bulan lalu.

Lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan berusia 43 tahun itu mengaku salah atas semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.

Memetik Malaysia Gazette, turut didakwa adalah kekasihnya yang berdepan dengan satu pertuduhan di mahkamah yang sama iaitu pertuduhan mendedahkan kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Bagi empat pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya bersama kekasihnya dan mangsa juga anak tidak sah taraf berusia tujuh tahun dengan cara yang membawa maksud seksual.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Dia yang bertugas di sebuah sekolah didakwa bagi empat pertuduhan lain iaitu melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara melakukan hubungan seksual di hadapan kanak-kanak perempuan itu dan dia didakwa mengikut Seksyen 15(c) AKSTK 2017.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa bagi dua pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap kanak-kanak itu dengan cara meliwat mangsa tanpa kerelaannya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Untuk dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video ke atas mangsa dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 5 AKSTK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ke-13, lelaki itu didakwa merogol mangsa sama yang mana perhubungan mereka tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah setinggan di Kempas Baru di sini antara pukul 11.35 malam pada 22 Januari lalu hingga waktu pagi, pada 17 Februari lalu.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin dan S. Manushri tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan semua pertuduhan tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan Rabu ini untuk sebutan semula bagi fakta serta hukuman dan tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, wanita tersebut sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa kanak-kanak itu didakwa mendedahkan kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Bagi perbuatan yang dilakukan di lokasi sama sekitar Februari lalu itu, tertuduh wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan berdepan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan lapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 2 April ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afdhallan Syafiq Azmy dan tertuduh tidak diwakili peguam.

BBerkaitan

Latest articles