Bapa Lapor Anak Jadi Mangsa Cabul Selepas Saksi Suspek Ganggu Pelajar Lelaki

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan telah menahan seorang pemandu van sekolah di Johor Bahru semalam selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia 58 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Desa Harmoni, bagi membantu siasatan selepas menerima laporan dibuat bapa mangsa.

“Pada 21 April lalu, kira-kira pukul 9.30 pagi, mangsa iaitu kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mendakwa dicabul suspek ketika dalam van sekolah itu sewaktu menunggu pagar sekolah dekat Taman Molek di sini dibuka.

“Mangsa kemudian mengadu mengenai kejadian itu kepada bapanya, namun bapanya tidak mengambil sebarang tindakan kerana memberi peluang kepada suspek yang dikenalinya itu.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 8 pagi semalam, bapa mangsa ternampak suspek mencabul seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ketika van sekolah itu di parkir di Taman Redang di sini sewaktu menunggu ketibaan pelajar lain yang menaiki van terbabit,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, melihat kejadian itu depan matanya, bapa kanak-kanak perempuan berkenaan membuat laporan polis bagi kejadian menimpa anaknya serta kanak-kanak lelaki terbabit.

Polis kemudian menahan suspek kira-kira pukul 5.30 petang semalam, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak 2017.

Katanya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing itu, kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.

BBerkaitan

Latest articles