Bapa Bayi Dua Bulan Yang Disyaki Didera Turut Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang juga bapa kepada bayi lelaki berusia dua bulan ditahan polis selepas disyaki mendera mangsa sehingga mengalami kecederaan serius di rumah mereka di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun ditahan sepasukan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka sekitar jam 6.30 petang tadi.

“Pasangan suami isteri yang beralamat di Semenyih, Selangor itu ditahan di hadapan Wad Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek lelaki didapati negatif dadah.

Sebelum itu, kes terbongkar apabila ibu bayi terbabit membawa anaknya yang tidak sedarkan diri ke Hospital Alor Gajah dan mendakwa bayi itu diserang sawan, sebelum meninggalkannya di hospital.

Bayi tersebut kemudian dirujuk ke Hospital Melaka tengah malam tadi dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan lebam serta luka di badan dan leher, selain pendarahan lama dan baharu dalam kepala.

Susulan itu, pihak hospital membuat laporan polis selepas mengesyaki bayi berkenaan menjadi mangsa penderaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan polis dijangka mendapatkan perintah reman terhadap pasangan terbabit dalam masa terdekat.

BBerkaitan

Latest articles