KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya PAS mempunyai “tiga hingga empat lori calon Perdana Menteri” disifatkan tidak lebih daripada retorik politik tanpa arah yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar menyindir kenyataan tersebut sebagai satu bentuk politik populis yang gagal menawarkan penyelesaian sebenar kepada masalah negara.
“PAS boleh kata mereka ada lori penuh calon Perdana Menteri. Tapi kalau lori itu brek rosak, tayar pancit dan pemandu tak tahu ke mana nak tuju, rakyat pun tak akan ikut naik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz menegaskan bahawa rakyat hari ini bukan menantikan senarai panjang nama calon, sebaliknya mendambakan kepimpinan yang kukuh, mempunyai visi jelas, serta berani membuat keputusan untuk masa depan negara.
“Rakyat tidak perlukan karnival calon Perdana Menteri. Yang mereka mahu adalah pemimpin yang stabil, tahu memimpin, bukan sekadar pandai menabur janji atau mencetus provokasi agama dan kebencian,” katanya lagi.
Beliau menyifatkan PAS masih gagal membuktikan keupayaan sebenar mereka walaupun sering kali mendakwa memiliki ramai tokoh berkelayakan.
“Setakat ini, PAS belum pernah sampai ke Putrajaya untuk memimpin negara. Yang sampai hanyalah lori yang penuh dengan janji kosong dan retorik semata-mata,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Mahfuz menyamakan retorik politik PAS sebagai “lori sampah yang membusuk”, kerana menurutnya, ia hanya mengundang kekeliruan dan membebankan rakyat dengan retorik tanpa penyelesaian konkrit.
“Apa gunanya banyak lori kalau hanya sarat dengan janji dan bau politik toksik yang membusukkan suasana demokrasi negara?” katanya.
Mahfuz turut mencabar PAS supaya menamakan calon Perdana Menteri mereka sempena Muktamar Tahunan PAS ke-71 yang bermula hari ini.
Katanya, PAS sebelum ini membantah pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun mereka sendiri masih belum menampilkan mana-mana nama secara rasmi.
“Jika benar PAS mempunyai ramai calon yang layak, kenapa sehingga kini satu nama pun tidak diumumkan? Ini menunjukkan mereka sendiri ragu-ragu dan tidak bersedia,” dakwanya.
Beliau menambah, pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bukan berdasarkan jumlah calon semata-mata, tetapi atas kapasiti, pengalaman, dan keupayaan memulihkan negara pasca kegagalan kerajaan terdahulu yang turut disertai PAS.
“Negara ini perlukan pemandu yang tahu jalan, bukan sekadar lambai dari atas lori sambil sindir orang lain,” katanya lagi, menyindir retorik parti itu.