Banyak Laporan Polis, Reman Pendakwah Selebriti Mungkin Disambung Buat Kali Ketiga

Reman terhadap seorang pendakwah selebriti yang didakwa merogol seorang kenalan wanita dalam satu kejadian di Seksyen 7, Shah Alam, September lalu, disambung lagi, bermula esok sehingga 6 Disember depan.

Perintah reman terhadap suspek yang juga bekas peserta rancangan realiti televisyen keagamaan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, Ahmad Feisal Mohd Azmi.

Terdahulu suspek yang berusia 25 tahun itu dan memakai baju berwarna hijau hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 11.10 pagi ini.

Dalam pada itu peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan tidak menolak kemungkinan bahawa anak guamnya mungkin akan ditahan reman semula di balai polis berlainan selepas reman kali kedua akan berakhir Ahad ini.

Ini berikutan sehingga semalam enam lagi laporan polis dibuat oleh mangsa-mangsa kepada suspek atas dakwaan rogol dan cabul.

“Ada kemungkinan dia akan disambung reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan sebagainya sebab tiba-tiba banyak laporan polis muncul.

“Itu prosedur biasa dan kita biarkan polis buat kerja dia,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan semalam memberitahu, lelaki tersebut ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selepas perintah reman sebelum ini berakhir, hari ini.

Baharudin berkata, tangkapan itu dibuat susulan pihaknya menerima enam laporan polis iaitu lima di Shah Alam dan satu lagi di Petaling Jaya.

Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah kesalahan-kesalahan seksual seperti 376KK (rogol), 354KK (cabul), 377CKK (seks luar tabii) dan 323KK (mencederakan).

Dalam pada itu, Ahmad Amzar memaklumkan bahawa anak guamnya bersedia memberikan kerjasama dengan baik kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pendakwah selebriti itu kepadanya untuk membuktikan dirinya tidak bersalah dan tidak terlibat dengan kesemua jenayah terbabit.

“Dia sedia bekerjasama kepada pihak polis untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah dalam kes ini.

“Dia cuba membersihkan nama dia melalui peruntukan undang-undang yang ada,” katanya lagi.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini