Bantuan Terbaik Diberi Kepada Keluarga Mangsa Nahas Pesawat – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor diarahkan menyediakan kemudahan yang terbaik kepada ahli keluarga mangsa pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor, ujar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri juga memaklumkan kerajaan pusat akan turut menyediakan bantuan bagi meringankan beban ahli keluarga.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa supaya bersabar kerana tiada siapa jangka tragedi seumpama itu berlaku.

“Cuma yang dilakukan sekarang ialah mempercepatkan proses forensik (bedah siasat) dan DNA.

“Sebaik selesai, ia akan diuruskan oleh jabatan agama dan kerajaan Selangor,” katanya kepada media selepas bersama kira-kira 15 minit dengan keluarga mangsa.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga mangsa nahas pesawat berkenaan di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kesihatan, Zaliha Mustapa; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; dan Datuk Seri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Anwar, antara bantuan yang disediakan kerajaan kepada waris mangsa ialah pengurusan jenazah, kelengkapan dan penginapan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memberi bantuan terutama kepada ahli keluarga yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya ikuti perkembangan ini dari semalam dan berterima kasih kepada pasukan keselamatan, pihak berkuasa agama, forensik, hospital da beberapa badan kebajikan negeri.

“Mereka mengurus dengan cekap. Saya bangga dan terima kasih,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles