Bantuan Banjir Keluarga Malaysia ditambah baik bagi bantu PMKS yang terjejas

KUALA LUMPUR,- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia ditambah baik untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat bencana banjir.

Beliau berkata kerajaan akan memberi geran bernilai RM3,000 melalui TEKUN Nasional kepada setiap perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan peruntukan disediakan sebanyak RM50 juta yang bakal memanfaatkan lebih 15,000 perniagaan mikro dan informal.

“Dana tambahan RM50 juta juga akan disediakan melalui Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN Nasional khusus untuk perniagaan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir dengan pinjaman mikro sehingga RM10,000 tanpa faedah.

“Tempoh bayaran balik adalah sehingga lima tahun dengan moratorium 12 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata dana sebanyak RM100 juta akan disediakan melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.

“Dana ini melibatkan pinjaman sehingga RM100,000 tanpa faedah dan tempoh bayar balik adalah sehingga lima tahun dengan moratorium 12 bulan,” katanya.

Katanya kerajaan turut meluluskan bantuan tambahan kepada pengusaha Agromakanan yang terjejas banjir melalui suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Dalam sektor pertanian, sehingga kini jumlah kerugian yang dilaporkan kesan daripada bencana banjir pada Disember 2021 adalah sebanyak RM91 juta dan jumlah bantuan yang telah disalurkan adalah sebanyak RM21 juta,” kata Ismail Sabri.

Di bawah TBTP, Perdana Menteri berkata pesawah yang mengalami kemusnahan tanaman padi akibat banjir bakal menerima bantuan secara tunai sehingga RM1,800 per hektar dengan had maksimum sehingga tiga hektar.

“Bagi pengusaha pertanian lain pula, RM50 juta tambahan akan disediakan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

“Di bawah PPSPA, petani, penternak dan peladang yang terjejas akibat kerosakan banjir, layak untuk memohon bantuan sehingga maksimum 50 peratus daripada jumlah kerugian,” katanya.

Beliau berkata kadar dan had bantuan adalah mengikut garis panduan tabung tersebut dan diberi dalam bentuk barangan atau in-kind iaitu seperti input pertanian atau peralatan.

“Kerajaan akan terus komited dalam usahanya meringankan beban semua golongan yang terjejas akibat banjir seperti PMKS dan Pengusaha Agromakan dengan sentiasa bersedia untuk menyediakan bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Pada Disember 2021, kerajaan telah mengumumkan dana pinjaman RM500 juta untuk Kemudahan Bantuan Bencana yang melibatkan pinjaman kepada PKS sehingga RM700,000 pada kadar faedah sehingga 3.5 peratus setahun dengan moratorium enam bulan.

Di samping itu, dana sebanyak RM30 juta disediakan melalui TEKUN Nasional untuk pinjaman sehingga RM10,000 kepada usahawan mikro dan informal.

BBerkaitan

Latest articles