KUALA LUMPUR: Kerajaan seharusnya membantu para peniaga bukan menghukum peniga dengan meminta pembeli untuk memboikot peniaga, demikian kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Naib Presiden UMNO itu berkata, kerajaan perlu menangani masalah harga barangan mentah yang mahal untuk meringankan beban peniaga dan pembeli.
“Kalau harga bahan mentah seperti ayam, sayur, ikan mahal mesti peniaga-peniaga di restoran menaikkan harga. Kalau kita boikot peniaga kita lebih menyusahkan peniaga. Tak membantu peniaga.
“Sepatutnya kalau peniaga membeli bahan mentah dengan harga yang mahal pihak kerajaan perlu memastikan harga dapat diturunkan untuk membantu peniaga dan penjual makanan. Rakyat juga dapat membeli makanan dengan harga murah. Itu yang sebaik-baiknya.
“Jadi kerajaan sepatutnya memikirkan perkara ini bukan dengan kenyataan-kenyataan yang begitu mudah melepaskan tangan dan mahu hukum pula peniaga-peniaga restoran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menegur sikap sesetengah peniaga restoran dan kedai makan yang masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman mereka, meskipun harga bahan mentah di pasaran telah turun.
Beliau berkata kerjasama daripada peniaga restoran dan kedai makan untuk menyeimbangkan harga jualan mereka dengan bahan mentah amat penting untuk membantu rakyat menambah ruang perbelanjaan dan mengurangkan beban kewangan mereka.
Katanya pengguna juga perlu bertindak lebih proaktif terhadap perubahan harga barangan dengan mengelak daripada berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera terhadap aduan oleh rakyat.
“Jadi saya harap banyak perkara-perkara dan aduan daripada rakyat perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan,” katanya.