KUALA LUMPUR: Gesaan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada November lalu adalah tepat kerana tidak berlaku banjir seperti yang dijangka sesetengah pihak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawab kecaman pelbagai pihak sebelum ini kononnya masa untuk diadakan pilihan raya adalah tidak sesuai.
“Ada pihak menjangkakan pilihan raya diadakan ketika musim banjir, tetapi banjir tidak berlaku, tapi yang kena tohmahan adalah saya.
“Tapi alhamdulillah, Allah SWT memihak kepada saya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB), semalam.
Sebelum ini, gesaan UMNO untuk mengadakan pilihan raya dalam tempoh segera dijadikan modal politik beberapa parti ketika ceramah pilihan raya.
Sebelum ini, media melaporkan Pusat Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil untuk kawasan Parlimen Sepang ditukarkan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil berikutan bangunan sekolah itu dilanda banjir dan tenggelam sepenuhnya pada 17 November lalu.
Proses mengundi di 11 pusat pengundian di Parlimen Baram pula digantung pada hari pengundian 19 November lalu berikutan cuaca buruk menyebabkan petugas tidak dapat tiba ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air.
Turut dilanda banjir empat pusat pengundian bagi PRU15 di utara Sarawak iaitu di Bahagian Limbang dan Miri, namun proses pengundian diteruskan apabila pengundi dibawa menaiki perahu untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Bahkan sebelum itu juga seramai 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan Kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU15.
Antara alasan yang dikemukakan adalah mengenai Monsun Timur Laut yang akan bermula dengan banjir dijangka melanda beberapa negeri di Malaysia, terutama di Pantai Timur.