PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan sedang memantau secara teliti perkembangan banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kawasan kediaman serta bandar, malah turut memberi kesan kepada beberapa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang dinaiki air hingga mengganggu operasi harian dan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Bagi memastikan keselamatan serta kesinambungan pembelajaran pelajar, KPT memberikan kelonggaran kepada semua IPT terjejas untuk melaksanakan PdP secara dalam talian sehingga keadaan kembali pulih.
Pada masa sama, bilik gerakan banjir di kampus terlibat turut diaktifkan bagi memudahkan pelajar, kakitangan dan ibu bapa mendapatkan maklumat terkini serta bantuan segera seperti makanan, tempat perlindungan sementara dan keperluan asas.
KPT menasihatkan seluruh warga IPT agar sentiasa berada di kawasan selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko.
Kementerian turut menzahirkan doa dan solidariti kepada semua mangsa banjir di negeri yang terjejas, berharap mereka diberi kekuatan menghadapi situasi sukar ini.










