Banjir Hatyai: 38 Warga UUM Berjaya Diselamatkan

HATYAI: Seramai 36 pelajar dan dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terkandas akibat banjir besar di Hatyai akhirnya berjaya diselamatkan selepas hampir dua hari terperangkap tanpa bekalan elektrik dan air di hotel penginapan mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mengesahkan perkembangan itu dan memaklumkan bahawa kesemua mereka kini berada dalam keadaan selamat.

Mereka telah dipindahkan ke lokasi penempatan sementara sebelum proses membawa pulang ke Malaysia dilaksanakan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pengurusan UUM atas koordinasi yang amat berkesan. Operasi berjalan lancar dan teratur,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Dr Zambry, usaha menyelamat ini melibatkan tindakan pantas pelbagai agensi susulan maklumat bahawa kumpulan tersebut terperangkap di Hotel Wangburapa Grand selepas kawasan itu dilanda banjir luar biasa.

Sebelum operasi penyelamatan berjaya dijalankan, UUM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bersama NGO tempatan sudah mengatur pelan menggunakan bot bagi membawa keluar semua mangsa.

UUM turut menggerakkan 12 bot bantuan yang membawa makanan dan keperluan asas, namun bot tersebut terpaksa berpatah balik kerana arus banjir terlalu deras dan membahayakan.

Kesemua warga UUM tersebut adalah peserta Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada Sabtu lalu sebelum terkandas akibat banjir besar yang melanda Hatyai.

BBerkaitan

Latest articles