Banjir: Bukan Masa Kita Berpolitik, Serang Parti, Lebih Baik ‘Buat Kerja’

KUALA LUMPUR: UMNO meluahkan rasa kesalnya dengan segelintir pihak yang lebih gemar bermain politik di kala membantu mangsa banjir untuk memulakan kehidupan yang baru.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan mengecam pihak yang asyik menunding jari ke pihak lain.

Apatah lagi kecaman dan kritikan itu datangnya daripada orang politik, yang dilihat cuba mengambil kesempatan menjadi ‘hero’.

“Jika orang politik berjawatan sekadar mahu komen dan mengulas sensasi di media sosial menyalahkan semua orang lain kecuali diri/parti sendiri, tak perlu keluarkan kenyataan pun tak apa.

”Lebih baik fokus kerja membantu mangsa banjir dari sibuk fikir bagaimana memburukkan parti lain.

”Apabila kritikan dan kemarahan itu datang dari rakyat, terutamanya dari mangsa banjir, maka yang dikritik itu sudah tentu menerima dan menilai dengan berlapang dada. Pasti ada banyak pengajaran dan iktibar dalam soal pengendalian pra, semasa, dan pasca banjir.

”Cuma, apabila komen dan kritikan itu datang dari pihak berkepentingan seperti ahli politik lain, biarlah ia membina,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Reaksi itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan BERSATU, Wan Saiful Wan Jan terhadap pertelagahan antara Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kata Shahr, cukup menjengkelkan apabila seorang menteri dan menteri besar dari negeri sama bertelagah mengenai siapa yang menjadi Pengerusi MKN negeri.

Bagaimanapun, beliau dalam masa yang sama menegaskan beliau turut tidak menafikan kekurangan yang wujud dari segi penyelarasan antara agensi/persekutuan/negeri mahupun kepantasan respons setelah banjir melanda.

Ini semua mesti diperbaiki setelah selesai urusan mendesak depan mata sekarang.

Katanya, banyak juga cerita sensasi yang disebarkan untuk memburukkan Datuk Seri Ismail Sabri seperti dakwaan majlis kesyukuran 100 hari sebagai perdana menteri.

”Namun, setelah diperiksa, ini merupakan anjuran Pertubuhan Anak Bera yang sudah dirancang sebelum bencana banjir. Selepas kejadian tersebut, penganjur tukar aturcara dan melancarkan tabung bantuan mangsa banjir,” terangnya.

BBerkaitan

Latest articles