Banduan Turut Serta Ringankan Beban Mangsa Banjir

KLANG: Bencana banjir yang melanda Selangor, terutama di Shah Alam baru-baru ini turut memberi kesan kepada golongan banduan untuk turut serta menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Sehubungan itu, kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia dan Ghullam Development menerusi Program i-Kembali memberi peluang kepada banduan-banduan yang masih menjalani hukuman untuk saling membantu, dan dalam masa yang sama berdepan dengan masyarakat.

Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad berkata, seramai 20 banduan dibawa ke Telok Gong pada hari ini, dengan melakukan kerja-kerja pembersihan di rumah-rumah mangsa banjir.

“Saya cuba membuat kelainan dengan memberi perkhidmatan kepada mereka yang terkesan dengan banjir. Kita lihat ramai yang memberi sumbangan makanan, pakaian, keperluan seperti bantal dan ubat-ubatan, tetapi kerja-kerja pembersihan ini kurang.

“Jadi saya gunakan peluang ini membawa peserta i-Kembali, supaya dapat membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan.

“Apabila kita buat program seperti ini, mereka tidak ada rasa malu berdepan dengan masyarakat. Dan apabila kita beri peluang sebegini, mereka nampak bersungguh dan ikhlas untuk membantu,” katanya yang ditemui The Rakyat Insight, hari ini.

Tambah Siti Murni, kerja-kerja pembersihan yang dilakukan kumpulan banduan ini adalah percuma.

Program i-Kembali ini berlangsung selama lima hari, bermula pada semalam dan akan berakhir pada 27 Disember ini, dengan menyasarkan kawasan Lembah Klang yang terjejas dengan banjir.

BBerkaitan

Latest articles